Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tiada Keyakinan Kahwin, Siti Nordiana Bimbang Anak Tersisih

Penyanyi Siti Nordiana masih belum mempunyai keyakinan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua walaupun sudah menjanda sejak enam tahun lalu. Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana, 31, juga bimbang anak lelaki tunggalnya, Ryyan Nakhaie yang kini berusia tujuh tahun akan terasa tersisih. "Jujurnya jika bercakap soal kahwin saya tidak cukup kuat untuk mengharungi alam rumah tangga buat kali kedua selepas pernah bercerai sebelum ini. Kalau boleh biarlah perkahwinan itu nanti akan kekal sehingga akhir hayat. "Kebimbangan saya juga adalah terhadap anak yang mungkin akan rasa tersisih sekiranya kemunculan lelaki lain dalam hidup kami," katanya kepada mStar Online. Nana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Gegar Vaganza yang diadakan di The Gardens Theater di sini, Isnin. Penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Faizal Yusop sebelum bercerai pada tahun 2009. Bagaimapun Faizal yang berkahwin lain meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung. Dalam pada itu, Nana berkata, dia mungkin akan mula berfikir tentang perkahwinan secara serius hanya selepas usia Ryyan mencecah sembilan tahun.
Ini kerana katanya, sebagai ibu dan bapa kepada anaknya itu, dia ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kanak-kanak berkenaan memandangkan Ryyan masih kecil. "Mencari pengganti bukan mudah tambahan pula saya hadir dengan 'pakej' (punyai anak) namun saya tidak terlalu tertekan memikirkan perkara berkenaan kerana buat masa ini Ryyan adalah keutamaan saya. "Dia hanya mengenali saya sebagai ibu dan bapanya dan biarlah dia besar sedikit dahulu sebelum saya fikir soal kahwin," katanya. Dalam perkembangan lain, Nana memberitahu dia teruja dapat menyertai program Gegar Vaganza musim kedua kerana ia adalah platform terbaik untuknya memperkenalkan kembali namanya kepada peminat. Kata Nana, walaupun berasa sedikit gementar untuk bertanding dengan nama-nama besar lain namun dia menyahut cabaran tersebut. "Saya tidak pernah hilang dari dunia nyanyian cuma kurang muncul dalam program televisyen atau pun radio namun Gegar Vaganza adalah peluang saya untuk merancakkan kembali karier. "Menerusi program itu juga saya dapat mengadakan persembahan dan menyanyikan pelbagai genre lagu mengikut tema diberikan nanti," jelasnya. Selain Nana, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir (Ukays) dan Ezlynn. Turut menyertainya ialah Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim. Gegar Vaganza musim kedua akan bersiaran selama lapan minggu bermula 18 Oktober ini dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails