Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mawar Tercabar Kepakaran Memasak Fizo Omar

Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar, berkata, dia berasa tercabar dengan bakat dan kebolehan suaminya yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan sekali gus menuntutnya untuk mempelajari ilmu masakan secara lebih terperinci. Mawar atau nama sebenarnya Mawar Abdul Karim, 27, berkata, biarpun diketahui mengenai bakat suaminya dalam bidang masakan, itu bukan alasan untuk dia terus bersikap lepas tangan menyerahkan tugas-tugas di dapur kepada Fizo. "Saya akui kalau di rumah, Fizo yang banyak berada di dapur berbanding saya kerana memasak adalah kesukaan dia manakala saya pula lebih kepada mengemas. Almaklumlah, lelaki kalau buat kerja dapur akan jadi tunggang langgang dan di situlah tugas saya (mengemas). "Tiga tahun mendirikan rumah tangga, jujur ada juga rasa tercabar dengan situasi itu. Justeru, saya tawar diri untuk cuba dalami ilmu memasak dengan Fizo apatah lagi kami sekarang telah memiliki restoran sendiri iaitu 'FizoMawar Kitchen' yang dibuka pada Disember tahun lalu,” katanya.
Mawar ditemui pada sidang media kerjasama F&N dan Fizo Mawar untuk lima mini episod bagi siaran YouTube untuk kempen 'Aroma Kasih Sayang'. Sidang media diadakan di FizoMawar Kitchen, di sini, Selasa. Kata Mawar lagi, hasil daripada pembelajaran itu, dia kini mahir menyediakan sajian tomyam ala Thai, kebab dan beberapa sajian pencuci mulut selain mengakui agak teruja untuk ke dapur menyediakan sajian berbuka puasa kepada suami dan keluarga. "Satu petua yang baru saya belajar, dalam masakan bersantan Fizo tidak galakkan saya menggunakan santan sebaliknya menggantikannya dengan susu cair F&N atas beberapa sebab antaranya untuk lebih sedap dan lauk tidak cepat basi,” katanya. Sementara itu Fizo pula berkata, memasak merupakan satu terapi buat dirinya sehingga pada satu tahap hendak ke pasar pun membuatkan dia rasa begitu teruja. Dalam perkembangan sama, Fizo kini baru sahaja pulang dari Bangkok, dan Phuket, Thailand untuk mendalami ilmu masakan sebagai persiapan menerbitkan sebuah program masakan sendiri tidak lama lagi. "Selama lima hari di sana, saya sempat belajar beberapa menu dalam melengkapkan 50 menu dalam senarai awal saya. InsyaAllah Ramadan nanti Chef tersebut akan datang ke Malaysia untuk menyambung tunjuk ajar," katanya.
Mengulas tawaran sebagai duta bersama produk F&N pula, Fizo dan Mawar menganggap kerjasama yang berpanjangan bersama syarikat itu sebelum ini memberi ruang kepada mereka untuk ditawarkan menjayakan kempen 'Aroma Kasih Syaang’ bagi mini episod berkenaan. "Rancangan ini boleh disaksikan di laman YouTube sebanyak lima episod di bulan Ramadan ini di mana pihak F&N cuba mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang menerusi setiap resipi dan masakan. "Di sini, saya dan mawar secara eksklusif akan menyediakan sajian dari ilham kami sendiri menggunakan susu pekat manis dan susu sejat dari jenama F&N,” katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails